Thursday, May 27, 2004



Pemikiran dogmatik penyokong PAS

Sila klik di sini untuk membaca surat pembaca yang berkemungkinan penyokong setia PAS. Gaya fikir semacam ini sememangnya sudah berakar umbi di kalangan sebilangan ahli dan penyokong parti PAS dan ia tidak perlu dihairankan.

Namun begitu, gaya fikir yang sebegini juga menjadi budaya di sebuah lagi parti yang didominasi oleh orang Melayu, UMNO. Sejak mula mengenali dan meminati dunia politik Malaysia, apa yang mengecewakan adalah sikap dan pandangan politik orang Melayu Islam yang sememangnya sempit dan taklid buta.

Walaupun secara peribadi saya tetap menyokong PAS atas dasar-dasar tertentu, namun sikap sebahagian besar penyokong PAS yang saya kenali sejak dari zaman semasa belajar di UiTM sangat mengecewakan.

Saya sering kali sukar untuk berbual panjang terutama di dalam isu-isu politik kerana kebanyakan hujah yang diberikan gagal untuk dijustifikasikan. Itu belum lagi hujah emosi dan hujah penamat iaitu syurga dan neraka.

Apapun, harapan untuk melihat PAS lebih modernis dan progresif masih ada, kita amat mengharapkan agar golongan ulama professional dan professional ulama di dalam PAS dapat membuat satu pembaharuan selaras dengan realiti politik di Malaysia.

Bagaimana caranya, itu terpulang kepada pucuk pimpinan, namun sebelum itu ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS perlu juga berubah. Janganlah mudah terpedaya dengan hujah-hujah retorik ustaz-ustaz pro-PAS di surau-surau dan masjid-masjid yang acap kali hanya tahu untuk menghukum.

PAS mesti cuba untuk mendengar pandangan-pandangan ahli dan penyokong PAS atau parti pembangkang lain yang berada di Lembah Klang dan bandar-bandar besar yang lain kerana lazimnya terdapat jurang pandangan yang berbeza di antara penduduk bandar dan luar bandar seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

No comments: