Saya rela masuk Umno!- Fathi Aris Omar
Sambutan 3 Mei adalah Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pertama bagi Perdana Menteri yang baru. Bagi yang kecewa, ragu-ragu atau sinis, hubungan tarikh ini dengan Abdullah Ahmad Badawi tidak bermakna apa-apa. Kepada yang berharap-harap (sebut sahaja, berangan-angan), hubungan ini bolehlah difikir-fikirkan.
Abdullah bertuah kerana dianggap oleh penyokongnya, tidak sama dengan perdana menteri lalu, Dr Mahathir Mohamad. Kempen ‘anti-rasuah’ beliau misalnya, berjaya memancing pengundi bersama Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lepas. Gerhana 1999 sudah berakhir, begitulah penganalisa melihatnya.
Dia juga bertuah kerana pengundi negara ini tidak dapat mengukur apakah yang asasi bagi kesejahteraan politik demokrasi kita - sama ada pertukaran seorang perdana menteri atau sempit-luas ruang kebebasannya?
Enam bulan sebagai perdana menteri masih awal tetapi sudah rancak juga pendekatan baru yang diperkenalkan oleh beliau, misalnya, suruhanjaya polis. Tetapi kita masih menunggu bagaimana dasar atau pendekatan kerajaan beliau berhubung kebebasan media.
Apakah beliau, juga Menteri Dalam Negeri, yang pernah mengharamkan beberapa akhbar dan majalah sepanjang tempoh krisis sejak 1998, akan membetulkan keadaan ini. Tidak sukar, beliau boleh memulihkan permit akhbar mingguan Eksklusif atau memberi semula kekerapan Harakah kepada dua kali seminggu.
Petisyen
BN tidak perlu lagi rasa terancam dengan kemenangan besarnya baru-baru ini. Apatah lagi PAS nampaknya bakal kehilangan kerajaan Kelantan jika BN berjaya memenangi dua (sekurang-kurangnya) petisyen pilihan raya di negeri itu.
Malah, jangan terkejut, silap-silap Harakah sendiri tidak mampu dicetak lapan kali sebulan walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengizinkannya! Media pembangkang dan independen - termasuk lamanweb atau buku politik - sudah lumpuh sama sekali sejak beberapa tahun lalu.
Penyokong Barisan Alternatif (BA) tidak ghairah lagi membaca atau berkunjung ke ceramah kecuali akibat kehangatan pilihanraya baru-baru ini dan isu-isu susulannya yang menggemparkan. Umumnya, pembangkang sudah layu sebelum berkembang sejak operasi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada April 2001.
Dari saat inilah pembangkang tewas walau mereka cuba menuduh kebarangkalian wujud penyelewengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau tipu daya BN - dengan tidak menafikan pembangkang mempunyai sedikit bukti tetapi ia tidak dapat menjelaskan ketewasan yang sebegitu memalukan bagi saluran-saluran (mengundi) anak muda dan orang tua!
Kita sering membuat dugaan, tindakan-tindakan anti-demokrasi Abdullah dulu atas arahan Dr Mahathir. Sekarang beliau sendiri perdana menteri, bagaimana masih begitu sukar memulihkan keadaan dan nama baiknya? Apakah pemberian semula permit penerbitan atau menarik balik larangan berceramah, akan memberi isyarat bahawa Abdullah sengaja ingin berbeza, jika tidak bertentangan, dengan bekas perdana menteri?
Kita menyebut ‘pemberian semula permit’ walau desakan asal kita untuk menghapuskan konsep serta amalan permit tahunan ini. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga tidak terkecuali membuat desakan yang sama lebih setahun lalu.
Aduan
Menghapuskan permit penerbitan sangat radikal bunyinya, apatah lagi untuk dilaksanakan. Mengenali sejarah panjang lagi sistematik penutupan ruang bersuara di negara kita, menyeru idea ‘pemberian semula permit’ mungkin dilihat lebih waras!
Lagipun, beliau juga ingin orang ramai menyampaikan perkara sebenar kepadanya. Bagaimana mungkin masyarakat dapat berbuat demikian jika medianya terkongkong? Bagaimana mungkin kalau masyarakat itu sendiri masih takut-takut bersuara akibat bergentayangan gangguan-gangguan halus dan rasmi?
Budaya takut bersuara itu sendiri bertentangan dengan semangat kempen anti-rasuah. Tubuhlah sebanyak mana suruhanjaya untuk menerima aduan, siapa yang ingin mengadu? Bukalah sebanyak mana alamat e-mel atau lawanweb untuk menyambut aduan jika ketakutan masih berselubung?
Namun sebagai kegiatan politik window-dressing, suruhanjaya dan e-mel boleh mengabui mata banyak pihak. Malah, mata yang kelabu ini telahpun memenangkan BN. Tetapi dua mekanisme ini tidak cukup sebagai saluran maklum balas orang ramai. Ia tidak merangsang perbahasan idea, membuka analisa alternatif atau mengajar rakyat berfikir.
Banyak perkara tidak bersifat aduan khusus untuk tindakan segera. Hubungan pemerintah-rakyat tidak selalu bersifat begitu. Banyak juga urusan kenegaraan bersifat analisa atau perspektif jamak jangka panjang. Di sini, hanya media sahaja boleh berperanan secara berkesan - selain kampus dan kegiatan berpersatuan.
Perbahasan yang rancak harus disertai pelbagai kelompok (perlu ditegaskan: bukan sahaja orang politik) tentang pelbagai isu, termasuk yang sudah sering dibicarakan. Ia memerlukan persekitaran politik yang meraikan kepelbagaian ini, termasuk media politik independen dan bernilai dagang (misalnya, permohonan permit edisi cetak yang dibuat oleh pemilik malaysiakini).
Ehsan
Media yang dikawal oleh parti-parti politik sahaja tidak cukup luas. Mereka menetapkan jenis dan ruang kebebasannya sendiri. Kita sudah memiliki media-media jenis ini walau boleh dibahaskan keberkesanan masing-masing. BN memilik sejumlah besar media berpengaruh tetapi pembangkang diberikan keizinan yang sangat terhad. Lebih terhad kepada pengusaha media bebas.
Bagaimana senario begini boleh wujud? Bagaimana wujud pemuntahan (kalau pun tidak boleh disebut ‘penjajahan’) idea orang politik - kerajaan dan pembangkangnya - terhadap masyarakat? Sedang kelompok-kelompok lain masyarakat tidak mempunyai ruang untuk menyertai debat-debat isu semasa dengan lebih rancak daripada sudut-sudut pandangan mereka sendiri?
Saya mencadangkan kerajaan Abdullah memperkenalkan konsep ‘media ehsan’. Konsepnya lebih kurang begini: Majalah dan akhbar boleh diterbitkan tanpa perlu mendapat permit KDN selagi tidak ditegah secara bertulis kemudiannya - dengan hujah-hujah keselamatan yang konkrit - dan penerbitannya dianggap tidak menyalahi undang-undang.
Ia dianugerahkan ‘secara ehsan’ kepada pengusaha media, wartawan atau penulis kerana ada sekatan rasmi dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetak. ‘Ehsan’ disebut di sini kerana kerajaan terus membiarkan ia beroperasi sehingga timbul hal-hal berbangkit, misalnya diambil tindakan mahkamah atau boleh menggugat ketenteraman awam. Selain dua sebab ini, ‘media ehsan’ terus dibiarkan beroperasi.
Jika syarat tambahan untuk mengoperasikan ‘media ehsan’ perlu kepada seseorang wartawan atau pengusaha itu menyertai Umno, saya dengan rela hati menyertainya. Hari ini, juga! Rasanya kami sudah tidak sanggup berkelahi dengan KDN atau meneruskan kempen ‘kebebasan akhbar’ yang mujarad lagi sia-sia. Kami mengangkat tangan, tewas dan insaf.
Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (10 Mei 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com
No comments:
Post a Comment