Monday, June 21, 2004
Ke ‘puncak’ manakah sebenarnya dituju?
Oleh Mahhass
Saya tidak mengharapkan apa-apa dari Akademi Fantasia musim ke 2 ini walaupun ia dilabelkan sebagai 'most anticipated' program realiti tv di malaysia. Apa yang dijangkakan saya sejak siaran ujibakat AF2 di Astro Ria menerusi rancangan Trek Selebriti sememangnya benar. Rata-rata anak-anak muda yang mencuba nasib semuanya terpengaruh dengan dunia penuh sensasi bekas pelajar AF1. Yang terpilih sudah membayangkan betapa popularnya beliau nanti. Yang tak terpilih pula tidak dapat menerima hakikat sehingga ada yang merungut "Kenapa aku tak terpilih sedangkan aku lagi bagus dari pelajar AF1?"
Lantaran AF2 pun bermula. Maka 12 muka baru menjadi tontonan seharian melalui Diari AF. Rata-ratanya menganggap diri mereka 'superstar' atau 'bintang' baru tanahair. Mereka tersilap sebenarnya. Mereka saya boleh umpamakan sekadar satu bentuk bahan hiburan yang bukanlah terlalu baru atau teruja untuk dibualkan ramai. Kebanyakan dari mereka tidak menampakkan ciri-ciri sebenar yang ada pada mana-mana 12 pelajar AF1 sebelum ini.
Masing-masing sudah sedia maklum yang diri mereka akan menjadi bahan tontonan seluruh Malaysia tiap-tiap malam kecuali Ahad. Masing-masing cuba TIDAK menonjolkan diri sebenar mereka. Maka tidak salah jika saya katakan mereka sebenarnya menghasilkan sebuah 'lakonan' walaupun tanpa penulis skrip dan sutradaranya. (Jika ada sekalipun tidaklah menghairankan). Malangnya lakonan mereka masih lagi kosong – tiada jiwa. Akibatnya, program realiti TV ini telah hilang sebahagian penontonnya berikutan hilang 'kejujuran'nya.
Barangkali mereka terlalu kemarukkan populariti. Seolah-olah cuba menjadi apa yang sudah pun ada dalam 'market'. Mungkin ada yang bercita-cita mencatas suara Anuar Zain, ada pula yang berfikiran dia bakal menggantikan tempat Siti Nurhaliza malah ada juga yang cuba meniru ketidakbagusan dan 'kesengauan' Yusry dan sebagainya. Yang tak bagus pun cuba ditiru, apa nak jadi entah. Apa sebenarnya yang penganjur mahu? Melahirkan 'superstar' atau semata-mata mengaut keuntungan SMS?
Maka kronologi yang sama akan sentiasa berulang lagi. Kitaran proses ini mengakibatkan tumbuhnya lagi selebriti atau artis-artis yang rata-ratanya kalau dinilai dari segi bakat (vokal, persembahan) terlalu mirip sangat, yang membezakan si anu dengan si anu ialah 'nama' dan 'imej' saja.
AF jika berlangsung seperti 'dijadual oleh penonton', maka akan ketiadaan impak. Pastinya akan ada di antara pelajar yang dianggap 'bagus' atau menjadi 'kesukaan' penonton akan 'dikeluarkan' sebagai turning-point penontonnya (bagi tujuan sms). Tetapi itu semua bukanlah satu unsur kejutan lagi. Rata-rata sudahpun menjangkakan senario atau elemen shock ini akan berlaku. Semacam plot wajib Akademi Fantasia. Jadi apa yang istimewanya lagi?
Sejak dunia hiburan kita melahirkan Siti Nurhaliza sebagai 'superstar' bermula seawal tahun 1994, belum ada lagi superstar baru muncul menghiasi persada seni hiburan tanahair. (Saya bukan peminatnya, cuma sekadar memerhati senario industri tanahair). Jika dikaji, kenapa Siti terlalu diminati? Jawapannya mudah. Beliau (pada awal-awal pembabitan) telah melakukan satu revolusi muzik tanahair.
Siti mencipta 'cult' untuk dirinya dengan lagu 'Cindai'. Kenapa lagu 'cindai' begitu terkenal dan diminati? Jelas kerana beliau (atau sebenarnya Pak Ngah) telah mengenengahkan elemen muzik kita, irama kita serta budaya seni kita. Bukan cenderong meniru barat (yang kononnya budaya mereka kita kutuk habis-habis, tetapi muziknya kita 'sembah' dan sanjung tinggi). Maka inilah yang terjadi. Melodi 'Cindai' menjadi siulan dari anak-anak kecil hinggalah ke orang tua. Inilah 'cult' yang kita mahukan sebenarnya.
Maka ramai yang mencuba nasib (walaupun agak keras untuk saya sebutkan) istilah 'meniru' paling sesuai untuk mereka-mereka itu. Hasilnya, kesemuanya kecundang jatuh hilang entah ke mana. Bukan sebab Siti, tetapi ketiadaan identiti pada diri mereka. Tidakkah mereka belajar dari kesilapan artis-artis yang cuba menjadi Jamal Abdillah, Allahyarham Sudirman dan sebagainya? Bukankah Tuhan telah menciptakan sesuatu makhluk itu unik dan tersendiri, kenapa pula kita cuba menjadi si anu atau si anu itu?
Barangkali ada benarnya kemunculan Dayang Nurfaizah cuba merevolusikan era Siti Nurhaliza namun sebenarnya konsep muzik yang dibawakan Dayang masih berkiblatkan barat. Cuma teknik serta lontaran vokalnya memberikan suatu pembaharuan dalam dunia muzik tanahair (bukan global) . Usaha tersebut boleh dipuji.
Berbalik semula tentang AF, dan apabila tamatnya AF2 ini nanti wajah mereka sudah pasti akan terpampang di majalah-majalah hiburan tempatan seperti juga mana-mana artis tanahair tatkala ini. Tiada apa yang baru lagi membaharukan dalam industri. Sama seperti sebelumnya. Kita pula tak henti-henti berSMS untuk membantu mereka mencapai impian mereka. Apa sebenarnya yang kita mahu? Apa impian mereka? Apa pula impian kita? Nak lihat 'bintang lama' berwajah baru?
Begitu juga halnya dengan pengkritik/juri samada yang tetap atau tidak - profesional mahupun amatur. Komen-komen yang diberikan seperti "...anda perlu tingkatkan lagi vokal" atau "..nyanyian anda bagus tapi..." dan berbagai lagi komen yang sebenarnya tidak jujur dan masih lagi membohong.
Kenapa tidak diluahkan sahaja ketidakpuasan hati seperti "Kenapa awak nyanyi macam tu? dah takde cara lain lagi dah?" atau "..MAAF, nyanyian awak tidak menarik hati saya.. cuba lagi!" atau "...apa yang sebenarnya awak belajar di akademi selama ini? Awak belajar atau main-main?".
Adakah segala komen yang akan diberikan perlu mendapat 'mandat' penganjur terlebih dahulu? atau penganjur takut sangat kehilangan majoriti pengundi? Kenapa harus takut? Bukankah mereka ini sedang dalam proses pembelajaran dan perlu bersedia sepenuhnya dari segi mental (emosi) untuk dikritik sepenuhnya? Ini bukan perkara main-main. Masa depan remaja itu terletak di tangan penganjur. Tanggungjawab mereka besar dan tak ubah seperti seorang penjaga mendidik anak atau guru mendidik anak murid. JANGAN DIPERSIA-SIAKAN HIDUP MEREKA.
Baiklah, mungkin jika sudah terkeluar sekalipun mereka dari akademi, yang bagus mungkin ada habuannya. Ada yang ditawarkan untuk album malah ada juga yang menjadi pengacara dan sebagainya. Tapi itu sebenarnya tidak memberi satu jaminan mutlak buat mereka. Berapalah sangat nilai ringgit yang mereka dapat kecapi (melalui jualan album misalnya) berbekalkan bakat yang tak seberapa itu?
Bayangkan tatkala populariti mereka semakin pudar suatu hari nanti, ke mana pula 'PUNCAK' (kononnya gemilang cahaya) yang akan mereka tuju sejurus selepas itu? Tidakkah waktu itu baru mak bapak mereka akan sedar dan menyalahkan diri sendiri akibat terlalu ghairah mengejar sebuah impian yang ternyata hanya sekadar 'demam' sementara?
Mereka masih muda remaja. Langkah mengkaji semula had umur penyertaan mungkin berkesan bagi menarik lebih ramai penonton yang agak bosan melihat karenah remaja ini. Justeru adalah lebih baik untuk mereka mencapai impian kerjaya yang lebih kukuh dahulu sebelum kenal dengan dunia glamour. Mereka pastinya akan hanyut di bawa arus duniawi sehingga alpa mengejar cita-cita murni yang ditanam sejak kecil. Bakat (nyanyian atau lakonan) adalah bakat, kerjaya adalah kerjaya. Lebih bagus jika tidak dicampur adukkan. (Khabarnya kesemua mereka telahpun menandatangani kontrak selama tiga tahun sejurus sebelum memasuki akademi).
Apa 'konon'nya tanggungjawab kita? Menghantar SMS Afundi? Pesanan saya janganlah kita turut sama menjadi pendorong hidup penuh glamour dan sandiwara anak-anak muda ini. Mereka masih muda remaja. Tidak salah jika kita menjadi pendorong untuk mereka (walaupun bukan semua) agar meneruskan pelajaran terlebih dahulu sebelum muncul bergelar artis (sebagai kerjaya sambilan misalnya). Cukuplah dengan AF musim pertama.
Mungkin kita lupa yang kita sudah dikenakan bayaran untuk menonton salurannya. Tak perlu kita lihat beberapa muka surat 'ekstra' dalam bil telefon bimbit lagi ataupun menggores 5-6 keping kad prepaid dalam masa kurang dari tempoh sebulan. Dan yang penting sekali, tak usahlah lagi kita 'turut serta' mengeksploitasi masa depan mereka ini kononnya untuk menghasilkan "bintang" yang tak akan ke mana perginya.
Nota : Program Malaysian Idol (disiarkan di dua saluran 'free' yakni tak berbayar) bakal menerima rating yang lebih tinggi berikutan dari penyertaan pelbagai peringkat lapisan umur, dan yang pastinya juga dilihat bakal menarik pelbagai lapisan penonton tidak kira tua, muda, kaum dan bangsa. Apa yang paling ketara – program ini lebih tertumpu kepada pencarian bakat Malaysia 'sejati' (truly Malaysian) untuk akan terus di bawa ke peringkat antarabangsa, bukan hanya disensasi di 'majalah mangga'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment