Thursday, June 10, 2004
Tindakan Harakah memalukan- Fathi Aris Omar
‘We can never be sure that the opinion we are endeavouring to stifle is a false opinion; and if we were sure, stifling it would be an evil still’ – John Stuart Mill dalam On Liberty (1859).
Insiden penerbitan rencana Dr Farish A Noor (kanan) dalam Harakah selepas pilihanraya umum lalu, menunjukkan hakikat betapa beberapa pemimpin utama PAS dan pengurusan Harakah mempunyai mentaliti yang sama dengan pemimpin kerajaan Umno yang mereka kritik.
Pemimpin Barisan Nasional (BN) – melalui pemilikan syarikat-syarikat akhbar harian dan televisyen – berjaya menentukan sepenuhnya aliran dan kandungan berita yang kita terima. Pendedahan bertubi-tubi itu telah mempengaruhi tanggapan dan cara berfikir pembaca di negara ini. Tidak keterlaluan disebut, ia satu kaedah 'penjajahan fikiran' atau al-gazwul fikri.
Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sering mengawal media-media tempatan dengan belbagai taktik halus – misalnya melalui 'gangguan' telefon atau memanggil editor-editor kanan ke pejabat dengan cara yang 'mengugut' agar sentiasa taat setia kepada kerajaan.
Dalam keadaan media arus perdana dilihat tidak bebas, sering memangsakan parti-parti pembangkang dan pengkritik kerajaan, tidak menggalakkan debat sihat tentang isu-isu penting negara, maka media independen dan akhbar pembangkang harus lebih terbuka.
Tidak perlu takut pada perdebatan sihat dan berpada-pada seperti yang ditunjukkan oleh Farish dalam tulisannya, ‘Memikirkan semula pendekatan PAS’ (Harakah, 15-30 April) atau lidah pengarang seksyen bahasa Inggeris akhbar itu yang mengkritik kepemimpinan ulama (Februari, 2002).
"Orang sering berhujah bahawa tiada konsep paderi dalam Islam. Tetapi dengan menegaskan bahawa ulama itu sebagai kelompok yang tidak boleh dikritik, satu tahap kepaderian...terbentuk dalam pemikiran orang biasa," kata rencana pengarang itu yang bertajuk 'Kepimpinan ulama - Tetapi siapakah ulama?'
Tidak demokratik
Menurut laporan akhbar, rencana pengarang tersebut ditulis sebagai kritikan balas terhadap tindakan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang menganggap tulisan beberapa penulis – termasuk Farish – dianggap mereka sebagai menghina akidah umat Islam dan institusi ulama.
Malangnya, toleransi PAS sangat rapuh. Sepertimana tekanan telah dikenakan ke atas editor seksyen bahasa Inggeris beberapa tahun lalu, kini pengurusan Harakah mengambil sikap yang memalukan apabila wartawan yang menerbitkan artikel Farish dikenakan 'tindakan' yang tidak demokratik, termasuk ke atas ketua pengarangnya Zulkifli Sulong.
Saya sengaja tidak mahu menyebutkan dengan terperinci insiden 'memalukan' ini sekarang tetapi daripada maklumat-maklumat yang kita kumpul, jelaslah cara berfikir PAS dengan Umno – dalam kes 'kebebasan akhbar' tidak berbeza apa-apa.
Sepatutnya wawancara akhbar pembangkang itu dengan ketua penerangan PAS, Dr Haron Din, dan seorang lagi pemimpin PAS, yang juga presiden PUM Abdul Ghani Shamsuddin, sudah memadai untuk menangkis hujah-hujah Farish (jika itu yang mereka mahu). Jika dua wawancara ini bertujuan damage control, ia sudah mencapai matlamatnya.
Tidak perlu lagi tindakan disiplin dikenakan ke atas wartawan-wartawan Harakah. Tindakan ini kasar dan tidak perlu. Ia menggambarkan pengurusan akhbar itu, melalui tekanan beberapa pemimpin PAS, bersikap 'berdendam' dengan Farish. Tetapi oleh kerana Farish seorang penulis di luar PAS, mereka tentunya tidak dapat berbuat apa-apa. Justeru sasarannya dijatuhkan pula ke atas wartawan-wartawan PAS sendiri!
Saya sungguh bersimpati pada wartawan-wartawan, sama ada di media arus perdana, akhbar pembangkang atau mangsa-mangsa kezaliman politik di serata dunia. Wartawan Harakah mengalami tekanan yang cukup besar daripada kerajaan dan sistem kawalan media yang sedia ada. Maka, sebab itu, tidak perlu lagi tindakan dikenakan secara bertulis.
Pengurusan Harakah dan PAS perlu berjiwa besar dan bertolak ansur dalam hal-hal yang harus dikendalikan sendiri oleh sidang pengarang. Tidak semua perkara harus dikawal dengan ketat seolah-olah sidang pengarang akhbar ini budak-budak yang masih berhingus!
Kecewa
Parti-parti pembangkang harus memahami (dan juga menyediakan) garispanduan kebebasan yang sewajarnya untuk memastikan suasana kerja yang sihat dan pada waktu yang sama, boleh membina iklim penerbitan yang membuka akal.
Hari ini, kita belum mempunyai, malah belum membahaskan dengan konkrit, ruang kebebasan ini. Sebab itu, pemimpin politik mengambil tindakan sewenang-wenangnya. Sementara wartawan pula meraba-raba apakah jenis berita atau rencana yang boleh (atau tidak boleh) diterbitkan.
Dulu saya pernah mengupas: "Harakah dan Berita Keadilan nampaknya menjadi mangsa akibat ketiadaan wacana ini, maksud saya wacana terbuka. Saya agak ragu-ragu apakah sebenarnya memang wujud apa-apa perbincangan serius, sekali pun tertutup, tentang isu-isu yang saya bangkitkan ini.Gelanggang debat harus dibuka untuk mentakrifkan ‘kebebasan’ organ parti sebagaimana rancaknya wacana tentang kebebasan akhbar di negara ini."
Sebagai aktivis bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), saya kecewa mendengar tekanan-tekanan yang pernah dikenakan ke atas Zulkifli, selain terhadap Khalid Jaafar (kanan) ketika memimpin Berita Keadilan (Oktober, 2002) atau Abdullah Ahmad ketika bersama New Straits Times (November, 2003).
Zulkifli sudah beberapa kali disiasat polis dan dikenakan tindakan mahkamah. Jawatan ketua pengarang atau wartawan kanan memang sukar, ibarat duduk di 'kerusi panas'. Oleh itu, jika pengurusan Harakah mengambil tindakan tambahan kepada Zulkifli berhubung siaran artikel Farish ini, maka jelas sekali betapa kecil ruang kebebasan dan terhimpitnya menjadi wartawan di negara kita.
Ia menunjukkan sejenis budaya politik yang tidak menggunakan akal rasional dan tidak menghargai debat sihat, sebaliknya kecenderungan kuat untuk menundukkan perbezaan idea dengan tekanan-tekanan kekuasaan.
Rupa-rupanya, tidak ada pihak yang bersedia bersama membela nasib kita (wartawan), perjalanan kita penuh ranjau tetapi bersedialah untuk mengharunginya seorang diri.
Sebagai penulis bebas, saya melihat trend ini dengan rasa penuh jijik dan seram.
Sila lihat rujukan tambahan:
1) Ulama bukan tongkat Musa
2) Harakah bidas ulama bersikap tak boleh dikritik
3) Perginya pengarang ‘organ parti’
4) DKL ‘mangsa’ kebebasan akhbar?
Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (7 Jun 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment