Tragedi Massa, budaya membaca dan diversified
Saya berasa amat sedih tatkala mendengar berita pemberhentian penerbitan majalah yang saya anggap boleh tahan ini. Walaupun diterbitkan oleh kumpulan Utusan, paparan dan artikel yang disiarkan di sini tidaklah seteruk akhbar terbitannya, Utusan Malaysia
Walaupun laporannya dirasakan tidak begitu berani dan seimbang serta masih jauh jika dibandingkan dengan majalah Minda dan Dewan Masyarakat. Pemergiannya seharusnya ditangisi oleh pencinta ilmu dan para pembaca di seluruh negara terutamanya para pelajar.
Saya amat mengharapkan agar Jurnal Pemikir tidak akan mengikut jejak langkah yang sama. Sudahlah terbitan bermutu di dalam Bahasa Malaysia amat sedikit, kematian Massa ini makin mengurangkan sumber yang ada terutamanya kepada mereka yang tidak bergantung kepada internet.
Alasan penutupan ini adalah ketidakmampuan mendapat bilangan pembaca yang ramai dan memperoleh iklan dalam jumlah yang banyak. Kematian ini sebenarnya menggambarkan kematian budaya membaca yang sihat dan intelek di kalangan rakyat Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya di dalam kes ini. Persoalan yang sering bermain adalah tentang apakah yang dibaca oleh rakyat Malaysia terutama golongan mudanya?
Tidak sukar untuk mencari jawapannya, kita hanya perlu untuk membuat pemerhatian di beberapa tempat seperti di MPH, Kinokuniya dan kedai-kedai majalah. Apa yang akan sering kita lihat adalah orang ramai terutamanya muda-mudi Melayu pastinya menjadikan majalah hiburan picisan, tahyul dan bacaan ringan sebagai sumber utama ilmu mereka seperti Mangga, Hai, URTV, Media, Bintang dan ntah apa-apa lagi. Dan saya secara peribadi semasa bekerja di MPH telah membuat pemerhatian ini.
Muda-mudi bukan Melayu tidaklah sebagus mana juga, bahan pembacaan mereka juga sering kali majalah-majalah tentang wanita,lelaki, bola sepak, kecantikan, hiburan dan sebagainya seperti CLEO, Lime, Seventeen, FHM, Loaded dan lain-lain lagi.
Bukanlah bodoh dan tidak bagus jika membaca majalah seperti ini, cuma yang menjadi masalah adalah kebanyakan daripada mereka dilihat tiada bahan alternatif lain yang lebih bagus yang dapat menyeimbangkan maklumat ringan dan berat. Bahan bacaan alternatif? Tidak perlulah disebut majalah seperti Minda, Masyarakat, Dewan Kosmik, Time, Economist dan lain-lain lagi, hanya suratkhabar sudah mencukupi. Hakikat yang jelas adalah amat sukar untuk melihat golongan muda berebut-berebut untuk membeli akhbar. Jika adapun, lazimnya akhbar yang menampilkan berita sensasi yang menjadi pilihan seperti Metro.
Satu hal lagi, jika sudah membeli amat sukar untuk melihat mereka ini membaca artikel di bahagian tengah, berita-berita semasa dan juga berita-berita perniagaan. Saya tertarik untuk menceritakan tentang kebaikan membaca berita perniagaan. Saya mula berminat untuk membaca berita di sisipan perniagaan sejak di tingkatan satu lagi dan apa yang menarik minat saya ketika itu adalah berita tentang projek-projek komersil seperti pembinaan pusat-pusat membeli belah kerana saya mempunyai kecondongan minat yang jelas terhadap berita-berita pembangunan.
Membaca ruangan perniagaan lazimnya akan memberikan kita maklumat dan gambaran yang amat baik tentang keadaan lepas, sekarang dan masa hadapan di dalam sektor masing-masing baik peruncitan, hartanah dan sebagainya.
Saya masih mengingati sewaktu berada di tingkatan satu, beberapa orang rakan saya menanya kepada saya tentang projek apa yang sedang dijalankan di sini dan di sana semasa berjalan-jalan di bandar dan kota. Berbekalkan maklumat yang didapati hanya daripada pembacaan, saya dapat menjawab dengan penuh yakin dan salah satu jawapan yang saya berikan adalah tempat di mana saya bekerja sekarang, Bukit Raja Shoppng Centre.
Satu contoh yang lain pula adalah saya sering terjumpa rakan-rakan, cerita-cerita dari rakan dan juga orang ramai tentang kekurangan maklumat tentang jenama. Contoh paling mudah adalah salah tanggapan para pelanggan tentang jenama Bata yang dianggap milik Malaysia serta Marrybrown, Bonia dan jenama keluaran Padini Holdings seperti Padini, Seed, Vincci, Miki Kids, P & Co dan sebagainya yang sering dianggap sebagai jenama luar walaupun hakikatnya adalah tidak.
Saya secara peribadi turut membaca serta membeli beberapa majalah-majalah yang ringan dan gaya hidup agar dapat turut sama mengetahui apa yang berlaku seperti FHM, Lime, Mingguan Sukan, Cinema Online, Maskulin dan lain-lain lagi. Tiada salahnya kerana ianya juga ilmu walaupun dalam peratusan yang tidak banyak, apa yang ingin ditekankan di sini adalah pentingnya kepelbagaian atau diversified.
Pempelbagaian bahan bacaan adalah sesuatu yang sangat penting di zaman ini di mana kita tidak akan mampu berkomunikasi dengan cemerlang tanpa ilmu dan maklumat yang luas. Malah sering kali inilah punca utama graduan kita yang lazimnya tidak mampu berkomunikasi dan tidak mempunyai tahap keyakinan yang tinggi kerana mereka tidak tahu apa-apa. Apa yang mereka tahu adalah sama ada belajar dan terus belajar tanpa bersosial, bola dan bola dan segalanya bola, korek blok dan tukar sana dan sini serta sibuk memodifikasi kereta walaupun bergaji kecil dan tukar sport rim sana dan sini dan kemudiannya disusuli dengan berlumba dan berfoya-foya dengan awek tipikal.
Jeff Ooi, Massa stop publication
No comments:
Post a Comment