2 Hari Lagi : Perhimpunan Rakyat Aman BERSIH
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
10November 2007 (Sabtu)
3 petang
10November 2007 (Sabtu)
3 petang
Jangan takut berhimpun, ikuti beberapa panduan perhimpunan
Oleh Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali
Himpunan Aman Rakyat untuk merafak sembah menyampaikan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong pada Hari Sabtu 10 November 2007 tepat pada masa dan ketikanya.
YDP Agong selaku 'payung' kepada rakyat Malaysia seluruhnya sama ada Melayu, Cina, India atau Sikh, Kadazan, Dusun, Iban dan lain-lain. Agong kepada orang PAS, orang Keadilan, orang MIC, MCA mahupun Umno.
Rakyat sudah sangat terdesak dan wajib bertindak.
Walaupun dikatakan ada saluran rasmi untuk bantah dan adu kepada kerajaan yang memerintah tetapi yang rakyat hendak bantah adalah sistem pincang dan perlaksanaan tempang kerajaan itu sendiri.
Hampir mustahil sebuah kerajaan yang begitu megah dengan pengalaman 50 tahun memerintah mahu menerima pandangan dan kritikan tentang dasar yang disusun begitu rupa yang selama ini telah memenangkan mereka.
Inilah permasalahannya hingga rakyat mengambil keputusan berani untuk turun ke jalan raya berhimpun secara aman hujung minggu ini.
Kata orang Perak sudah 'jenoh' kita bersuara atas pentas ceramah, dalam media kita, dalam sekelumit 'slot' yang diberi di media arus perdana, dalam memo demi memorandum yangdiajukan, dalam Dewan Parlimen dan DUN melalui wakil-wakil kita tapi kerajaan yang memerintah makin galak menindas dan memanipulasi.
Ini diakui sendiri oleh Pengerusi SPR yang akan bersara tidak berapa hari lagi Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman iaitu sistem pilihan raya di Malaysia dibuat sebegitu rupa untuk memastikan kemenangan Umno/BN dalam pertemuan semalam 5 Nov 07 antara Presiden dan beberapa orang AJK PAS Pusat dengan Tan Sri dan anggota panel SPR di Blok C7, Parcel C, Putra Jaya.
Ini bukan kali pertama saya mendengar Tan Sri berkata demikian, beberapa tahun lepas dalam satu taklimat SPR kepada pimpinan PAS kenyataan yang sama keluar dari mulut Rashid.
SPR hanya boleh bergerak dan bertindak dalam kerangka undang-undang yang ada, undang-undang ciptaan Umno/BN.
SPR tiada kuasa untuk mendakwa atau menghalang salah laku pilihan raya apatah lagi untuk mengubah sistem tersebut. Malah dalam begitu punya disiplin mematuhi undang-undang dan peraturan manusia, kita semua dikejutkan dengan pengakuan Setia Usaha SPR iaitu Dato Kamaruzaman bagaimana Daftar Pemilih yang tidak boleh dicabar dalam mahkamah boleh 'dipermainkan' oleh PPP atau Penolong Pegawai Pendaftaran yang terdiri dari pekerja sementara/kontrak yang dilantik SPR.
Apakah mungkin PPP ini adalah Puteri-Puteri Umno yang dikemukakan oleh Ketua Puteri Umno pada masa tersebut dan diterima sendiri oleh Pengerusi SPR yang sama iaitu Tan Sri Rashid melalui memo tulisan tangan beliau?
Ini juga diakui sendiri oleh Tan Sri walaupun pada awalnya mengatakan tidak tahu menahu tentang Puteri Umno yang dilantik sebagai PPP. Ini menambah-burukkan lagi imej SPR setelah kenyataan pada Bulan Julai yang lepas dimana sebanyak 22,433 nama pengundi terpaksa digugurkan dari Daftar Pemilih Induk (DPI) kerana TIADA dalam senarai nama rakyat Malaysia dalam data JPN.
Ini belum dikira lagi 180,000 nama pengundi yang disahkan mati yang baru sahaja dibersihkan.
Apakah kebarangkaliannya hampir 200,000 nama ini yang saya kategorikan sebagai pengundi hantu, dicampur dengan nama-nama pengundi yang dipindah-pindahkan oleh PPP dan mungkin juga penipuan dan manipulasi yang tidak dapat dikesan oleh SPR telah memenangkan Umno/BN.
Berapa orang dikalangan yang menang sebagai ahli parlimen dan ADUN telah memegang jawatan PM,TPM, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, MB, Exco dan pelbagai jawatan penting yang menentukan dasar dan mentadbir serta mengurus Negara??
Ini belum dikira lagi kelemahan sistem pendaftaran mati-hidup rakyat dari peringkat Balai-balai Polis hingga ke JPN sendiri. Tan Sri juga memaklumkan bahawa ada 5 juta orang mati yang masih belum direkodkan oleh JPN.
Berapa ramai mereka yang telah mati ini ‘dibangunkan†untuk mengundi kerana nama mereka masih 'hidup' dalam rekod JPN dan dalam daftar pemilih.Peliknya Malaysia telah mewujudkan Bandar Silikon nya sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Malaysia menghantar 'angkasawan' atau pelancung angkasa dengan kos beratus ke beribu juta RM tetapi JPN iaitu satu jabatan paling asas dalam pengurusan Negara masih belum mampu merekodkan 5 juta nama rakyat yang telah pun berkubur sekian lama.
Setelah mendengar segala-segala yang pelik diatas saya semakin yakin rakyat wajib turun ke jalan raya, mengadu kepada DYMM YDP Agong keresahan, kebimbangan dan kerisauan kita semua.
Kepincangan yang tidak mampu diperbetulkan oleh SPR tanpa ada kesedaran dan kemahuan kerajaan yang ada untuk berubah kearah pembaikan dan ketelusan.
Tapi Umno/BN selaku parti yang memerintah sudah lama duduk dalam zon selesa, tiada sebab untuk mereka melakukan perubahan kecuali, ya kecuali ada rasa takut kepada balasan Allah SWT diatas apa yang mereka lakukan selama ini.
Sebagai peringatan kepada semua yang akan berhimpun di Dataran Merdeka pada 10 Nov nanti saya ingin memesankan beberapa perkara.
Pertama, jangan takut untuk berhimpun kerana hak kita untuk berhimpun dijamin oleh perlembagaan dan diperaku oleh SUHAKAM yang beberapa kali menyatakan perhimpunan aman tidak perlu permit polis.
Kedua, pastikan kenderaan yang dinaiki nanti dalam keadaan yang baik, pemandunya cukup rehat dan dalam keadaan bersedia utuk memandu, patuhi peraturan jalan raya, bersabar dan bertimbangrasa antara sesama pengguna.
Jangan lupa doa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan pergi dan balik.
Saya telah mengingatkan sahabat handai yang berada di Lembah Klang agar sama-sama mendoakan keselamatan tetamu-tetamu dari seluruh Negara.
Ketiga, jaga kesihatan dan kebersihan semasa berhimpun dan selepasnya. Buang sisa,bekas makanan dan kertas lapik duduk masing2 dalam tong sampah atau bawa balik bersama jika tiada tong berdekatan.
Lampin pakai buang anak dan tuala wanita terpakai hendaklah dibungkus dan dibuang dalam tong sampah dalam bilik air/tandas yang digunakan, jangan ditinggalkan atas sinki,tepi pintu atau atas lantai.
Jaga kebersihan tandas atau bilik air sebagai mana kita mahu ianya dalam keadaan bersih sebelum kita gunakan.
Jangan lupa bawa bekalan air minuman dan sedikit bekalan makanan kering yang tidak mudah rosak supaya tidak kelaparan dan kehausan jika makanan yang disediakan atau yang dijual tidak mencukupi.
Semasa bermusafir saya suka bawa 'Wet tissu' atu tisu lembap yang bagi ibu-ibu digunakan untuk mencuci bayi.
Tisu ini sangat 'handy' jika tiada air atau sekadar untuk mengelap muka atau tangan yang kotor.
Satu lagi oleh kerana keadaan cuaca yang tidak menentu elok juga dibawa baju hujan yang nipis atau baju hujan pakai buang.
Sebaiknya beli yang berwarna kuning atau yang jernih untuk memastikan warna kuning tanda protes dalam himpunan ini tidak terlindung.
Jangan lupa pakai baju kuning, bagi muslimat baju dan tudung kuning. Kawan-kawan yang ada baju atau tudung kuning lebih, boleh pinjamkan kepada yang tiada.
Para dermawan pada masa inilah boleh menderma dengan menaja bas, duit tol/minyak/sewa bas. Dermawan yang berada sekitar KL bila lagi hendak kenduri.
Masak dan sediakan sarapan pagi pada 10 Nov serta makan malam 9 Nov/10Nov.
Mungkin kali ini kita 'korban' untuk Himpunan AMAN Rakyat ini, apatah lagi korban sempena Raya Haji bukan wajib tapi sunat.
Membantu dan menyumbang untuk menegakkan keadilan dan membantah kezaliman serta mencegah penipuan adalah wajib.
Ayuh, jadilah tuan rumah yang baik yang memuliakan tetamu seperti sunnah Rasulullah s.a.w.
Jangan pula orang dekat/setempat tidak bersama-sama berhimpun. Itu sudah memang wajib kerana wajib akur arahan Presiden jika anda ahli dan penyokong PAS.
Wajib juga bagi semua yang mahukan keadilan dan benci kemungkaran, benci penipuan benci rasuah; tidak kira ahli Parti atau tidak .
Salam perjuangan, JANGAN TAKUT JANGAN BIMBANG. Kita jumpa 10 Nov nanti.
No comments:
Post a Comment