Tuesday, November 13, 2007

Kumpulan di Masjid Negara


Kumpulan di Sogo



Bagaimana 40,000 meloloskan diri dari kepungan polis? - Malaysiakini

Fauwaz Abdul Aziz

Ribuan manusia berkumpul di Kuala Lumpur pada 10 November lalu, menuntut diadakan pilihanraya yang bersih dan adil. Malaysiakini merakamkan detik-detik bagaimana mereka meloloskan diri untuk berkumpul di Istana Negara.

Kumpulan di Masjid Jamek

Jam 2.10 petang: 1,000 orang berkumpul di depan Masjid Jamek, dekat stesen LRT. Tanpa sebarang amaran, polis melepas tembakan meriam air bercampur kimia. Polis anti-rusuhan bersiap sedia di depan masjid. Manakala kira-kira 500 orang ramai lagi berada di dalam Masjid India dekat situ.

Pada jam 2.25 petang: Jumlahnya meningkat kepada 2,000 apabila yang lainnya keluar dari dalam Masjid Jamek. Tembakan meriam air dilepaskan beberapa kali ketika mereka sedang keluar. Orang ramai yang berlindung di stesen LRT Masjid Jamek, turut keluar.

Jam 2.39 petang: Polis mula melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas orang ramai yang berkumpul di situ serta melepaskan tembakan meriam air bercampur kimia. Pada jam 2.45 petang, polis telah mengawal sepenuhnya jalan di luar Masjid Jamek selepas melepaskan tembakan berbelas-belas das gas pemedih mata. Orang ramai berlari ke arah Jalan Masjid India.

Dari sana, mereka berkumpul di sepanjang Jalan Raja Laut, di depan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Cityl. Ketika cuba masuk ke kawasan Dataran Merdeka, sekali lagi mereka dihalang oleh trak-trak FRU dan terkena tembakan gas pemedih mata dan tembakan air kimia. Mereka mereka terpaksa berundur memasuki Jalan Raja Laut.

Apabila tiba ke bangunan Sime Darby di Jalan Sultan Ismail selepas jam 3 petang, mereka membelok ke Jalan Kuching. Ketika itu, jumlah orang ramai di situ telah meningkat kepada 5,000 orang. Dari situ, mereka terus bergerak tanpa sebarang gangguan polis menuju ke Istana Negara.

Kumpulan di Masjid Jamek adalah yang paling terkena tembakan air kimia dan gas pemedih mata.

Kumpulan di Sogo

Kira-kira 5,000 orang mula berarak pada jam 2.30 petang dari kompleks Sogo di Jalan Raja Laut berhampiran Kompleks Pertama. Mereka dihalang di hujung jalan tersebut daripada memasuki Dataran Merdeka.

Mereka membelok ke kanan selepas bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ke Jalan Tun Perak sebelum membelok ke kiri ke Jalan Kuching menuju ke Masjid Negara. Mereka melalui Dataran Merdeka di sebelah kanan.

Mereka menyertai kumpulan terakhir yang tersangkut di Masjid Negara selepas polis menutup pagar, menghalang mereka daripada keluar dari situ. Kumpulan utama di Masid Negara - kira-kira 10,000 - telahpun berarak ke Istana Negara.

Kumpulan di Pasar Seni

Jam 2:30 petang: Kira-kira 500 orang keluar dari Pasar Seni dan berarak menujuk ke Dataran Merdeka dalam hujan lebat. Mereka membelok ke kiri ke Jalan Pasar dan melepasi Auditorium Majlis Peguam di sebelah kiri. Di belakang mereka, berhampiran bangunan OCBC, terdapat kira-kira 100 anggota polis anti-rusuhan di tempatkan di situ. Kumpulan tersebut diketuai oleh pemimin Bersih Tian Chua, Mahfuz Omar, dan Irene Fernandez.
Mereka dihalang oleh kira-kira 100 anggota polis anti-rusuhan yang menutup laluan masuk ke Jalan Pasar ke Dataran Merdeka yang terletak kira-kira 50 dari situ.

Tian dan yang lain cuba memecahkan benteng polis, tetapi tidak berjaya. Semakin ramai yang berkumpul di situ, termasuk pemimpin Bersih seperti Maria Chin Abdullah dan Elizabeth Wong.

Tidak lama selepas itu, mereka berpecah kepada kumpulan kecil dan bergerak antara bangunan Bank Pertanian Malaysia di Menara Patriot dan pejabat lama Pendaftar Mahkamah Kuala Lumpur dan sampai ke Jalan Raja.

Hanya kira-kira 30 orang, termasuk Irene yang menaiki kereta tolak, yang tinggal di Jalan Pasar. Dataran Merdeka kosong pada 3 petang, kecuali anggota polis yang berkawal di situ.

Jumlah kumpulan dari Pusat Seni meningkatkan kepada kira-kira 2,000 orang ketika mereka berarak di sepanjang Jalan Raja, melepasi Masjid Negara menuju ke Istana Negara.

Kumpulan dari Masjid Negara

Jam 2.30 petang: Kira-kira 10,000 orang, sebahagian besarnya ahli dan penyokong PAS, yang berada di Masjid Negara, mula berarak menuju ke Istana Negara, dengan diketuai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Kamaruddin Jaffar, dan para pemimpin Dewan Pemuda PAS.

Mereka kemudiannya berpecah kepada dua kumpulan mengikut laluan yang berasingan. Satu kumpulan meneruskan perarakan melalui Jalan Maharajalela dan bila sampai ke Wisma Tun Sambanthan, mereka membelok masuk ke Kampung Attap.
Kumpulan yang lain satu membelok ke kanan selepas Masjid Negara dan berarak mengikut lebuhraya. Mereka bertemu dengan kumpulan perarakan yang lain sebelum membelok ke Jalan Istana.

Ketibaan

Jam 3.15 petang: Apabila tiba pada jarak 200 meter dari Istana Negara, mereka dihalang oleh kira-kira 150 anggota polis anti-rusuhan yang dilengkapi dengan dua trak meriam air.

Perhimpunan tersebut semakin besar sehingga mencecah 40,000 selepas semua kumpulan yang berarak dari Masjid Negara, Pasar Seni, Sogo dan Masjid Jamek tiba di Istana Negara.

Kira-kira 20,000 yang lain turut menyertai mereka tiba dari pelbagai destinasi di Kuala Lumpur.

Tiga helikopter polis berlegar-legar di udara di tempat mereka berarak.

Jam 3:20 petang: Satu delegasi Bersih, yang turut disertai oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dari DAP dan Setiausaha Agungnnya, Lim Guan Eng dan setiausaha publisit, Teresa Kok dibenar mendekati pintu Istana Negara.

Mereka turut disertai oleh Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim; Naib Presiden PKR, R Sivarasa, Abdul Hadi dan Nasharuddin (PAS) dan pengarah penyelidikan parti tersebut, Dr Zulkifli Ahmad sertai penyelaras Pengerak Demokrasi, Anuar Tahir.

Ketua Polis Brickfields, Sulaiman Junaidi dan pegawai kanan polis yang lain mengadakan rundingan dengan delegasi Bersih kira-kira 100 meter dari Istana Negara.

Delegasi tersebut kemudiannya menunggu ketibaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ahli jawatankuas pusat PAS, Syed Azman Syed Nawawi. Bagaimanapun, perjalanan mereka tersekat oleh kesesalan lalulintas.

Sulaiman dan beberapa pegawai polis lagi memberi amaran kepada delegasi Bersih bahawa perhimpunan tersebut akan dileraikan secara kekerasan sekiranya mereka tidak menyerahkan segera memorandum tersebut.

Khalid meminta mereka diberi tempoh lima minit lagi kerana memorandum tersebut berada dengan Anwar.

Jam 3.55 petang: Anwar tiba dengan menaiki motosikal untuk menyertai para pemimpin yang lain. Beliau dan Hadi masing-masing memberi ucapan ringkas sebelum bergerak ke arah pintu pagar Istana.

Jam 4 petang: Delegasi Bersih yang diketuai oleh Anwar menyerahkan memorandum kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di pintu pagar Istana. Sejurus kemudian, pihak penganjur meminta orang ramai bersurai. Para pemimpin Bersih menyifatkannya sebagai satu kejayaan besar.

No comments: