Rakyat Pantang Dicabar
Semburan FRU
Jalan Raja Laut
Dataran Merdeka dikepung
Menuju Jalan Kuching/Jalan Kinabalu
Kumpulan utama dari Istana bergerak pulang
Menuju Masjid Negara
Nostalgia 1998
Setia mengepung, bukan Setia Alam
Aku tiba di CM sekitar 1 petang dan terus bertemu Rusnizam sebelum bergerak ke Masjid Jamek. Setibanya di Masjid Jamek, ribuan manusia sudah berada di sini untuk menunggu arahan dari pimpinan sambil bersolat dahulu. Kira-kira jam 2.15, cubaan kami untuk berarak ke Dataran Merdeka dihalang pihak polis yang terus menyembur air dan gas pemedih mata. Entah berapa kali disembur pun aku tak ingat,yang pasti lebih daripada 5 kali. Pedih tak ingat. Klip video keganasan polis boleh ditonton di sini dan di sini.
Oleh kerana pihak polis berdegil untuk tidak membenarkan kami ke Dataran dan seterusnya menuju ke Masjid Negara untuk menyertai ribuan yang lain. Kami menju ke Masjid India sebelum berkumpul di Jalan Raja Laut dalam cubaan untuk sekali lagi ke Dataran. Antara pimpinan dan aktivis yang mengetuai kumpulan ini adalah Dr. Hatta Ramli, Arif, Jonah dan Amin. Di sini kami diserang entah berapa kali oleh FRU, sila klik di sini dan di sini untuk menonton video yang sempat aku rakam di kala kepedihan mata.
Pihak polis masih berkeras untuk tidak membenarkan kumpulan ini menuju ke Masjid Negara dan oleh itu perarakan terpaksa melalui jalan jauh di mana kami berarak menuju ke persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Laut sebelum membelok ke kiri memasuki Jalan Kuching/Jalan Kinabalu. Kami diserang sekali lagi dari belakang oleh FRU sebelum berkumpul semula dan berarak menuju ke Istana. Anggaran aku sekitar 3,000 orang berada di dalam kelompok ini. Itupun banyak yang sudah berpecah dek kerana dihambat polis, Rusnizam juga sudah terpisah dengan aku. Setibanya di sekitar Dewan Perhimpunan Cina, kumpulan utama yang sangat ramai sedang berpatah balik dan barulah aku tahu memorandum telah berjaya diserahkan. Dianggarkan sekitar 30,000 orang berada di dalam kumpulan utama ini yang berkumpul terlebih dahulu di Masjid Negara.
Kumpulan ini bernasib baik kerana tiada semburan air dan gas pemedih mata ditujukan kepada mereka. Mungkin kerana bilangan yang terlalu ramai lalu lalu membuatkan pihak polis teragak-agak untuk bertindak. Sementara itu semasa kami di flyover berhampiran Dataran Merdeka, sekumpulan peserta berhampiran bangunan DBKL yang terpisah dengan kumpulan kami telah ditangkap pihak polis.
Kumpulan yang telah bercantum ini menjadikan pemandangan yang sangat indah dan aku teringat seketika nostalgia 1998. Aku cukup puas dan bangga berada di detik bersejarah ini. Kemudian kami menuju ke Masjid Negara untuk menunaikan solat asar, malangnya pihak polis telah menutup pintu pagar Masjid Negara. Lantas kami menuju ke Masjid Jamek dengan aman.
Bertemu Diba yang lewat kerana menghadiri gig di Burger King dan Termoz sebelum mengisi perut yang lapar di mamak berdekatan. Bilut yang terpaksa menghadiri rumah terbuka menyertai kami selepas itu.
Aku menyimpulkan perhimpunan ini amat berjaya walaupun digertak pihak polis beserta amaran PM Pak Lah yang pantang dicabar. Kehadiran peserta sekitar 30 ke 50 ribu yang berselerak di serata pusat bandar KL amat membanggakan. Bayangkan jika permit diberi dan tiada amaran keras dari Ketua Polis Negara dan juga KL, pasti ratusan ribu yang akan hadir. Itu belum dikira kenderaan-kenderaan termasuk bas yang ditahan dan diarah berpatah balik. Namun aku merasa geli hati membaca laporan berita Bernama yang menyebut hanya beberapa ribu yang hadir. Buta ke bodoh? atau kedua-duanya sekali.
Beberapa ribu?
Kuala Lumpur tidak akan mengalami kesesakan luar biasa jika pihak polis memberikan Bersih permit. Kami sudah buktikan perarakan ini berjalan dengan aman dan tugas polis sepatutnya adalah mengawal perarakan ini dan membantu kelancaran lalu-lintas. Bukannya membuat sekatan jalan yang tidak masuk akal yang sengaja menyusahkan pengguna jalan raya yang jika tidak memahami pastinya akan menyalahkan kami. Minta maaf kepada pengguna jalan raya yang terseksa akibat sikap tidak professional pihak polis dalam menangani perhimpunan ini. Tetapi ramai juga yang memberi sokongan dengan membunyikan hon dan melambai kami walau tersekat di dalam kesesakan. Cuma satu sahaja insiden yang dikesali iaitu sikap menggelabah pihak polis di Masjid Jamek, Masjid India dan Jalan Raja Laut. Contohilah rakan anda di Istana Negara. Malam ini aku tidur lena sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment